"Usrah Rasa Hati"...

Beriman dengan qadha' dan qadar merupakan salah satu dari rukun iman yang enam. Sikap sangka baik dan sangka buruk berkait rapat dengan keimanan dengan qadha' dan qadar. Sebagai hamba yang beriman, kita dikehendaki sentiasa bersangka baik terhadap Allah s.w.t. Apabila kita bersangka baik terhadap Allag s.w.t banyak kebaikan yang akan kita perolehi. Sebaliknya kita dilarang dari bersangka buruk terhadap Allah s.w.t, kerana apabila kita bersangka buruk kepada Allah swt maka kita telah melakukan satu dosa yang boleh menjerumuskan kita kepada kekufuran dan kemaksiatan.


Buruk sangka terhadap tuhan bermaksud menganggap apa yang berlaku terhadap seseorang khususnya bala, bencana atau kesusahan atau kegagalan tidak sepatutnya berlaku. Perasaan ini berlaku ke atas orang yang beriman kepada Allah, kerana orang kafir sememangnya tidak yakin dan tidak percaya dengan Allah s.w.t, namun kerana dalam hatinya ada penyakit menyebabkan mereka tidak dapat menerima ketentuan dari Allah dan yang lebih malang lagi apabila mereka menyalahkan Allah swt atas apa yang berlaku ke atas diri mereka.


Sifat buruk sangka terhadap Allah swt amat merbahaya kerana ia boleh menjejaskan aqidah dan keimanan seseorang. Antara akibat buruk disebabkan sangka buruk terhadap Allah swt.


  1. Menyebabkan berkurangnya keyakinan dan keimanan kepada Allah s.w.t.
  2. Apabila seseorang tidak menerima ketentuan Allah swt dan menyalahkanNya pula bererti ia tidak yakin dengan kebijaksanaan Allah swt.
  3. Seseorang yang buruk sangka terhadap Allah swt boleh dianggap sebagai menganggap Allah bersifat lemah sehingga beranggapan Allah tidak sepatutnya melakukan sedemikian.
  4. Buruk sangka terhadap Allah swt boleh menjadikan manusia sombong dan meninggi diri sedangkan manusia tidak memiliki dan apa yang ada pada manusia semuanya adalah milik Allah s.w.t.
  5. Hati dan jiwanya tidak bahagia dan tidak tenteram, sentiasa keluh kesah dan sentiasa menyalahkan orang lain.


Kita dilarang berburuk sangka dengan Allah swt kerana ia bertentangan ajaran dan pertunjuk al-Quran.

Firman Allah s.w.t surah al-Baqarah, ayat 155-157;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ.

Maksudnya; Dan kami akan berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang Sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.


Firman Allah swt surah Fussilat ayat 22-23;

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ وَذَلِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ أَرْدَاكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya;Kamu sekali-sekali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu bahkan kamu menyangka bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan. Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang Telah kamu sangka kepada Tuhanmu, dia Telah membinasakan kamu, Maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi.

.

Justeru manusia perlu redha, mesti pasrah atas apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt, jangan sekali-kali kita mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t kerana manusia pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa, semua yang ada samada diri manusia mahupun dunia ini adalah milik yang mutlak bagi Allah s.w.t.

اللَّهُمَّ إني أسألك الرضا بالقضاء والقدر وبرد العيش بعد الموت ولذة النظر إلى وجهك والشوق إلى لقائك في غير ضراء مضرة ولا فتنة مضلة

Ya Allah, Aku bermohon kepadaMu, Kurniakan kepadaku sifat redha dengan ketentuan qadha' dan qadar Mu ya Allah, redha dengan kehidupan selapas mati, kurniakanlah kepadaku kelazatan menatap wajah Mu ya Allah, kurniakanlah kepadaku perasaan rindu untuk bertemu dengan Mu tanpa kesusahan yang memudharatkan dan fitnah yang menyesatkan..... Amen yan Rabb al-Alamin.

2 Responses
  1. Assalamualaikum! Masyaallah, hebatnya Ujian saudara Tengku Saiful namun alhamdulillah diberi kesempatan. terasa kecilnya ujian sendiri. semoga tabah. doa dari saya.


  2. Fieda Says:

    Ya saya sangat bersetuju... terkesima saya mendengar cerita beliau... semoga tabah mengharungi liku2 kehidupan...semoga Allah memebrikah hidayah dan petunjuk kepada kita.. Amin


Catat Ulasan