"Usrah Rasa Hati"...

Manusia dilarang dan diharamkan dari bersifat dengan sifat sombong. Larangan ini disebabkan manusia tidak layak bersifat dengan sifat ini kerana manusia merupakan makhluk yang dicipta oleh Allah swt dengan kemampuan yang sangat terbatas. Sifat sombong sangat merbahaya kerana ia menyebabkan berbagai masalah dalam kehidupan manusia.


Antara bahaya sifat sombong ialah;

1. Orang yang sombong mendapat kemurkaan dari Allah swt.

Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman;


الكبرياءُ ردائي والعِزَّةُ إزاري فمن نازعنى واحدا منهما قذفته فى النار


Maksudnya;Sombong itu selendang aku dan kemulian itu pakaianku, sesiapa yang mengambil salah satunya daripadanya Aku campakkan ke dalam api neraka.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ


Maksudnya; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri


2. Orang yang sombong akan ditutup pintu hidayah daripada Allah swt.

Firman Allah swt;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ


Maksudnya; Allah menutup hati-hati mereka, pendengaran mereka dan penglihatan mereka, bagi mereka azab yang sangat besar.

كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ


Maksudnya;Demikianah Allah mengunci mati pintu hati orang yang sombong dan sewenang-wenang


3. Orang yang sombong mengabaikan perintah Allah subhanahu wata’ala.


وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا


Maksudnya;Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.


4. Orang yang Sombong menjadi penghuni neraka.

Sabda Rasulullah saw;

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ


Maksudnya;Tidak akan masuk surga siapa saja yang di dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan)

5. Kesombongan membawa kepada kehinaan di dunia dan di akhirat.

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ


Maksudnya;Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.


Dalam kehidupan kita didunia, sifat sombong membawa bermacam-macam masalah samada dalam diri seseorang, masyarakat, organisasi, dan negara.

Seseorang akan menjadi masalah kepada orang lain apabila tidak boleh berkerja sama kerana sombong. Keluarga tidak bahagia apabila sebahagian ahli keluarga bersikap sombong mementingkan diri sendiri.

Masyarakat tidak harmoni apabila ada anggota masyarakat bersifat sombong dan takabbur menyebabkan masyarakat berpecah belah. Negara menjadi tidak makmur apabila pemimpin sombong mementingkan diri sendiri dan tidak perihatin kepada rakyat, dunia akan menjadi huru hara apabila para pemimpin sombong tidak menghormati negara lain.

Sebalik semua akan merasa bahagia dan tenang apabila manusia saling hormat menghormati, merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk dan itulah inti pati akhlak yang dianjurkan oleh Islam.

"Usrah Rasa Hati"...
YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… ‘La ila ha illallah’, sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah. Wahai diriku, fahamilah hanya Allah sahajalah Tuhan yang berhak ke atas semua pengabdian, hanya Dialah Tuhan tempat engkau dan semua makhluk berserah dan menggantungkan segala harapanmu. Dialah yang menentukan semua apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku, samada perkara baik atau sebaliknya. Semua makhluk, dunia dan akhirat termasuk syurga dan neraka berada di dalam genggaman Allah dan berada di bawah pentadbiranNya. Dia berkuasa mengurus, mentadbir dan mencukupkan semua keperluan dirimu. Dialah Tuhan yang mengadakan keperluanmu sebelum dirimu sendiri menyedari yang engkau memerlukannya. Dialah Tuhan yang menyediakan keperluanmu sebelum engkau sendiri meminta dan memohon kepadaNya, semuanya telah disediakan untukmu. Segala rahmat dan kebaikan adalah semata-mata dari kurniaNya. Dia berhak melakukan apa sahaja terhadap makhlukNya dan Dia tidak akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukanNya, tetapi dirimulah yang akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hari pengadilan kelak. Sedarilah, hanya Allah sahajalah tempat engkau menyerahkan nasibmu, Tuhan yang memiliki segalanya.



YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… Allah Tuhan yang Maha Esa. Wahai diriku, segala sesuatu adalah kepunyaan Allah semata-mata. Langit dan bumi, dunia dan akhirat, zahir, batin dan seluruh alam ghaib kepunyaan Allah. Termasuklah dirimu sendiri juga adalah kepunyaan Allah. Seluruh syurga dan neraka semuanya adalah makhluk Allah. Mengikut sains, matahari dan planet-planet dikira sebagai satu sistem suria. Setiap satu bintang di langit membentuk satu sistem surianya sendiri. Tidakkah dapat kita merasakan kebesaran kekuasaan Allah, keagungan pemerintahanNya sebagai Tuhan yang menguasai setiap sesuatu. Mengapakah kita masih merasa gentar kepada musuh-musuh, kepada semua orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim? Mereka semua adalah hamba Allah, mereka juga berada di dalam genggamanNya. Engkau merasa kagum dengan kekuatan ketenteraan musuh, merasa takut menghadapi kekuasaan dan kezaliman mereka. Ketahuilah, semua itu terlalu kerdil, kecil dan hina dibandingkan dengan kekuasaan Tuhanmu. Kekuasan Tuhanmu dan pentadbiranNya meliputi segalanya, Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Agung. Sedarilah, hanya Allah yang menguasai segala sesuatu, Dialah Tuhan yang maha berkuasa.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Ketahuilah setiap sesuatu di dalam pemerhatian dan pengawasan Tuhanmu. Wahai diriku, ketahuilah bahawa semua perkara yang berlaku kepadamu berada di dalam pengetahuan Allah. Semuanya di dalam pemerhatian dan pengawasanNya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang engkau alami. Dia amat mengetahui segala yang menimpa dirimu. Allah mengetahui penderitaan hambaNya. Engkau ditimpa susah dan sakit. Engkau menderita dan engkau sabar di dalam menanggung penderitaanmu itu. Kesabaranmu itu tidaklah sia-sia kerana ianya dinilai tinggi oleh Tuhanmu. Sebenarnya seluruh manusia tidak akan mampu untuk menolongmu, malah dirimu sendiri pun tidak akan berupaya untuk menolongmu kecuali apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Hanya kepada Tuhanmu sajalah tempat untuk engkau mengadu dan memohon. Redhalah dengan ketentuanNya. Sedarilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang engkau alami dan engkau sentiasa berada di dalam pengawasanNya dan sesungguhnya engkau berada di sini hanyalah untuk diuji.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Hendaklah engkau redha bahawa Allah adalah Tuhanmu dan redha juga dengan segala ketentuanNya. Wahai diriku, ketahuilah bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Iradat Allah. Tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku jika bukan dengan kehendak Allah. Tidak ada sesuatu yang bergerak dan tidak ada yang diam melainkan semuanya dengan kehendak Allah jua. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada dirimu di luar pengetahuan Allah. Tidak ada satu pun yang berlaku pada dirimu itu berlaku dengan sendirinya, itu adalah kehendak Tuhanmu. Sesiapa pun tidak akan mampu untuk menolak kehendak Allah. Semua perkara berlaku dengan Kudrat dan Iradat Ilahi. Terimalah dengan hati terbuka, berusahalah dan teruslah bertawakkal kepadaNya. Redhalah dengan ketentuan Tuhan. Ketahui jugalah, Tuhan yang menimpakan ujian yang kau rasakan berat kepadamu itu adalah Tuhan yang sama yang memberi kemewahan dan rezeki kepada musuhmu, yang pada pandanganmu seorang yang ingkar. Adakah engkau redha dengan ketentuanNya? Atau adakah engkau merasakan perlu mencari Tuhan yang lain selain Dia. Pada pandangan Allah, dunia dan segala isinya ini tidaklah lebih berharga berbanding sehelai sayap nyamuk. Ketahuilah, pemberian kemewahan dunia kepada hambaNya itu bukanlah bermakna keredhaan dari Allah. Sedarilah, hanya Allah Tuhan yang esa, tidak ada Tuhan selainNya. Oleh itu redhalah Dia sebagai Tuhanmu. Sebagaimana engkau rela menerima Allah sebagai Tuhanmu maka redhalah di dalam menerima ketentuanNya.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. ‘Tidak ada daya dan upaya pada seluruh makhluk melainkan dengan izin dari Allah jua’. Wahai diriku, ketahuilah tidak ada yang akan terlepas dari kehendak Allah dan tidak ada yang dapat menahan ketentuanNya. Engkau harus berusaha dengan segala upayamu. Setelah itu bertawakkal dan berserahlah kepadaNya dengan kesabaran. Ketahuilah, engkau hanyalah seorang yang lemah tidak berupaya kecuali dengan izin dari Tuhanmu, engkau hanyalah seorang hamba Allah. Segala apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sebagai seorang yang beriman, apakah engkau berpendapat bahawa jika tidak berlaku peperangan Iraq, Presiden Saddam Hussein masih hidup dan masih berkuasa? Tidak, ketentuan Allah telah ditetapkan sejak azali. Umur dan rezeki manusia telah ditentukan. Sedarilah, usaha itu perlu kerana takdirmu di masa depan belum engkau ketahui tetapi engkau wajib redha menerima keputusan setelah ianya berlaku kerana itu adalah ketentuan dari Tuhanmu.



REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. Wahai diriku, ketahuilah engkau di sini untuk diuji. Tidak ada orang terdahulu yang tidak diuji. Empat khalifah pertama meninggal dibunuh dan diracun. Empat imam mazhab semuanya mendapat siksaan hebat dari pemerintah atau dipenjarakan. Oleh itu terimalah ujian Tuhanmu kerana itulah tujuan engkau berada di sini.


Kiriman En. Saharuddin

"Usrah Rasa Hati"...

Beriman dengan qadha' dan qadar merupakan salah satu dari rukun iman yang enam. Sikap sangka baik dan sangka buruk berkait rapat dengan keimanan dengan qadha' dan qadar. Sebagai hamba yang beriman, kita dikehendaki sentiasa bersangka baik terhadap Allah s.w.t. Apabila kita bersangka baik terhadap Allag s.w.t banyak kebaikan yang akan kita perolehi. Sebaliknya kita dilarang dari bersangka buruk terhadap Allah s.w.t, kerana apabila kita bersangka buruk kepada Allah swt maka kita telah melakukan satu dosa yang boleh menjerumuskan kita kepada kekufuran dan kemaksiatan.


Buruk sangka terhadap tuhan bermaksud menganggap apa yang berlaku terhadap seseorang khususnya bala, bencana atau kesusahan atau kegagalan tidak sepatutnya berlaku. Perasaan ini berlaku ke atas orang yang beriman kepada Allah, kerana orang kafir sememangnya tidak yakin dan tidak percaya dengan Allah s.w.t, namun kerana dalam hatinya ada penyakit menyebabkan mereka tidak dapat menerima ketentuan dari Allah dan yang lebih malang lagi apabila mereka menyalahkan Allah swt atas apa yang berlaku ke atas diri mereka.


Sifat buruk sangka terhadap Allah swt amat merbahaya kerana ia boleh menjejaskan aqidah dan keimanan seseorang. Antara akibat buruk disebabkan sangka buruk terhadap Allah swt.


  1. Menyebabkan berkurangnya keyakinan dan keimanan kepada Allah s.w.t.
  2. Apabila seseorang tidak menerima ketentuan Allah swt dan menyalahkanNya pula bererti ia tidak yakin dengan kebijaksanaan Allah swt.
  3. Seseorang yang buruk sangka terhadap Allah swt boleh dianggap sebagai menganggap Allah bersifat lemah sehingga beranggapan Allah tidak sepatutnya melakukan sedemikian.
  4. Buruk sangka terhadap Allah swt boleh menjadikan manusia sombong dan meninggi diri sedangkan manusia tidak memiliki dan apa yang ada pada manusia semuanya adalah milik Allah s.w.t.
  5. Hati dan jiwanya tidak bahagia dan tidak tenteram, sentiasa keluh kesah dan sentiasa menyalahkan orang lain.


Kita dilarang berburuk sangka dengan Allah swt kerana ia bertentangan ajaran dan pertunjuk al-Quran.

Firman Allah s.w.t surah al-Baqarah, ayat 155-157;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ.

Maksudnya; Dan kami akan berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang Sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.


Firman Allah swt surah Fussilat ayat 22-23;

وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ وَذَلِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ أَرْدَاكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya;Kamu sekali-sekali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu bahkan kamu menyangka bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan. Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang Telah kamu sangka kepada Tuhanmu, dia Telah membinasakan kamu, Maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi.

.

Justeru manusia perlu redha, mesti pasrah atas apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt, jangan sekali-kali kita mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t kerana manusia pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa, semua yang ada samada diri manusia mahupun dunia ini adalah milik yang mutlak bagi Allah s.w.t.

اللَّهُمَّ إني أسألك الرضا بالقضاء والقدر وبرد العيش بعد الموت ولذة النظر إلى وجهك والشوق إلى لقائك في غير ضراء مضرة ولا فتنة مضلة

Ya Allah, Aku bermohon kepadaMu, Kurniakan kepadaku sifat redha dengan ketentuan qadha' dan qadar Mu ya Allah, redha dengan kehidupan selapas mati, kurniakanlah kepadaku kelazatan menatap wajah Mu ya Allah, kurniakanlah kepadaku perasaan rindu untuk bertemu dengan Mu tanpa kesusahan yang memudharatkan dan fitnah yang menyesatkan..... Amen yan Rabb al-Alamin.

"Usrah Rasa Hati"...
Diudara pada 15/4/2009


Setiap perkara yang berlaku ke atas manusia, samada yang baik atau sebaliknya bagi orang yang beriman,ia merupakan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Mereka menyakini dan menyedari disebalik sesuatu peristiwa ada hikmahnya yang tersendiri dan ia akan sentiasa menyangka baik terhadap Allah swt walaupun pada zahirnya apa yang berlaku ke atas dirinya adalah suatu keburukan atau kegagalan disamping sifat redha kepada ketetapan Allah. Begitu juga sebaliknya apabila diberi nikmat, ia sentiasa terfikir dan bermuhasabah apakah ujian yang diberikan melalui nikmat ini, yang pasti ia adalah ujian kepadanya samada ia bersyukur atau sebaliknya.

Renungilah Firman Allah swt; Al-Baqarah:216.

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya; Kemungkinan apa yang kamu benci adalah amat baik bagimu, dan kemungkinan (pula) apa yang kamu sukai, ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.

Sabda Rasulullah saw;
عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول قبل موته بثلاث : لا يموتن أحدكم إلا وهو يحسن الظن بالله عز و جل

Maksudnya; Daripada Jabir bin Abdullah ra, aku mendengar Rasulullah saw bersabda sebelum kefawatannnya tiga kali, janganlah seseorang kamu mati melainkan menyangka baik kepada Allah swt.

Sabda Rasulullah saw;
عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : قال الله عز و جل أنا عند ظن عبدي بي فإن ظن بي خيرا فله الخير فلا تظنوا بالله إلا خيرا

Maksudnya; Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu, sekiranya sangkaannya terkadapKu baik maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik

Adakah sifat ini akan menjadikan manusia bersikap pasif, malas berkerja dan berusaha, tidak melakukan teguran dan nasihat?

Jawapannya pasti tidak, ini kerana sifat ini menjadi pengimbang antara keinginan, kemampuan dan kehendak Allah swt. Pada hakikatnya Allah swt yang menentukan segala-galanya. Namun perlu diingat bahawa Allah swt mewajibkan manusia berusaha dengan berbagai bentuk taklifat dan tanggungjawab. Manusia akan dipertanggungjawabkan tentang taklifat tersebut bukan kejayaan atau kegagalan yang diperolehi. Justeru dengan adanya sifat baik sangka terhadap Allah, disamping sifat tawakkal dan redha, manusia akan menjadi manusia yang baik, tenang dan tidak menimbukan masalah pada diri, masyarakt dan negara.

Adalah salah sekiranya seseorang sentiasa melakukan dosa dan maksiat dengan anggapan baik Allah akan memberi keampunan, atau nanti akan bertaubat, maka mereka adalah penipu yang merasakan mereka boleh menipu sedangkan Allah swt maha mengetahui.

Kebaikan Sangka Baik kepada Allah swt;

  1. Keimanan dan keyakinan kepada Allah swt semakin kuat dan tinggi.
  2. Hidup seseorang sentiasa berada dalam lingkungan tawakkal kepada Allah swt.
  3. Hati sentiasa tenang kerana merasa apa yang berlaku ke atas diri adalah ketentuan Allah swt dan suamya mengandungi hikmah dan kebaikan tersendiri.
  4. Tidak mudah putus asa apabila menghadapi sesuatu kegagalan.
  5. Mendapat keredhaan Allah swt.
  6. Terhindari dari sifat-sifat mazmumah seperti pemarah, sombong dan putus asa, menyalahkan orang lain dan lain-lain.

Sedarkah suatu hakikat yang ditegaskan oleh Allah swt dalam ayat 70 Surah al-Taubah;

فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Maksudnya; Maka Allah sekali-kali tidak menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Mudah-mudahan Allah menganugerahkan cahaya makrifat kepada kita, melaluinya kehidupan kita sentiasa terbimbing menuju kebahagian abadi, kabahagian di akhirat.

Wallahu A'lam.

اللهم إني أعوذ بك من علم لا ينفع ، ومن قلب لا يخشع ، ومن نفس لاتشبع ، ومن دعاء لا يستجاب له
"Usrah Rasa Hati"...

Diudara pada 8/4/09


SOMBONG DAN TAKABBUR


Sedarlah hakikat kehidupan didunia, tiada yang lebih baik kecuali iman dan takwa.

Firman Allah swt :

إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ قُلُوبُهُمْ مُنْكِرَةٌ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ لَا جَرَمَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur. ( Surah An-nahli: 22-23 ).


Takabbur, sombong, bongkak, angkuh dan adalah sifat yang tercela dalam Islam, sifat yang dibenci oleh Allah Subahanu wataala dan Rasulnya. Kerana itu kita ditegah dari bersikap sombong dan membangga diri.

Firman Allah swt;

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya; Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.” Luqman:18.

Sifat sombong dan takabur menjerumuskan kepada kebinasaan dan kekufuran. Firman Allah swt;

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya; Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. al-Baqarah:34.


Orang yang sombong menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, bangga diri kerana kedudukan, pangkat, kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.


Tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya digunakan dalam kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.

Sifat sombong dan takabbur boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:-


Pertama:


Sombong kepada Allah Subahanau Wataala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subanahu Wataala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada-ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.


Kedua:


Sombong kepada Rasul: Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri.


Ketiga:


Sombong terhadap sesama manusia: Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;


1.Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.

2.Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.

3.Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.

4.Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.

Balasan orang yang sombong.


Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk

Firman Allah swt;

فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Maksudnya: Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur. Al-Nahl:29.

Mengelakkan sifat sombong dan takabbur;

  • Menjaga tutur kata dan perilaku kita supaya sentiasa dalam keadaan baik.
  • Bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah saw yang tidak pernah berlaku sombong. Baginda dengan Ikhlas menziarahi sahabat baginda yang ditimpa sakit atau kesusahan, mebantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput bahkan baginda sendiri pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan khandak.
  • Tingkatkanlah iman dan takwa
  • Takutkan siksaan Allah swt

"Usrah Rasa Hati"...
Masalah Kehidupan;

Saya sering berhadapan dengan situasi dimana saya boleh memberi kemaafan kepada orang lain tetapi saya merasa susah untuk menenangkan hati, hati masih terasa sakit, rasa kecil hati bila mengenagkan apa yang berlaku. Mohon pandangan Team usrahrasahati.


Team Usrahrasahati memberi pandangan;

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Terima kasih atas soalan dan kesediaan bersama team usrahrasahati

Cadangan yang dikemukakan memang amat baik, insyaallah sekiranya kami berkemampuan kami akan melakukannnya,

Adanya perasaan kecil hati menandakan kemaafan yang kita berikan kepada orang lain tidak sempurna atau boleh dikatakan kemaafan hanya pada lisan sahaja belum lagi kemaafan dali lubuk hati atau hati nurani. Kemaafan yang sebenar ialah apabila tidak ada sebarang ingatan atas kesalahan yang dilakukan oleh orang yang kita maafkan. Delete terus dari memori kita tentang kesalahan orang lain. Anggap ia tidak pernah berlaku dan kita mulakan dairi baru bersamanya.

Bercakap memang mudah, tetapi itulah hakikat yang perlu dipenuhi, so, berlatihlah memaafkan orang lain, berlatih berulang kali boleh memdidik jiwa menjadi pemaaf dan mudah bergaul dengan orang lain. Ingat dua perkara dan lupakan dua perkara;

Ingat ... kesalahan-kesalahan kita jangan sampai kita buat kesilapan berulang, ingat.. kebaikan orang lain kepada kita ingat nikmat Allah kepada kita terlalu banyak nikmat yang Allah beri kepada kita. Allah pun boleh terima taubat hamba takkan kita yang lemah ini tak boleh beri kemaafan kepada orang lain.

Lupakan.... lupakan kabaikan kita yang tak seberapa ini, dan lupakan kejahatan orang lain terhadap kita,

Insyaallah kita akan menjadi orang yang pemaaf, orang yang lembut hati dan orang yang mudah merasai kesusahan orang lain.

Sekian,

Team usrahrasahati.
"Usrah Rasa Hati"...
Masalah Kehidupan;

Saya pernah gagal dalam kerjaya. Selama setahun saya tak berupaya melakukan apa-apa akibat terlalu kecewa dgn kegagalan tersebut. Selepas dinasihat dan dipujuk oleh isteri akhir nya saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.. Setelah tamat pengajian, dalam usia 43, saya memulakan kerjaya baru walaupun terpaksa bermula dari bawah.


Tapi hati saya masih tak tenteram, jiwa saya berkecamuk, perasaan tertekan sehingga saya menjadi seorang yang pasif, tidak bermotivasi. Pendek kata saya ni boleh di kategorikan sebagai staf yang prestasi nya statik. Perasaan rendah diri dan merasakan tidak berupaya masih menebal dalam jiwa.

Saya amat ingin menjadi seorang yang berjaya, tapi oleh kerana hati dan jiwa yang sakit, saya seperti terbelengu dan terpenjara dalam dunia yang sempit yang tiada penghuni melainkan saya. Hati sentiasa merasakan tiada siapa yg suka nak kawan. Lebih-lebih lagi bila ada beberapa insiden yang seolah mengiakan andaian itu.
Apakah yang seharusnya saya lakukan? Adakah saya perlu keluar dari tempat ini dan cari kerjaya lain? Tapi bukan senang nak dpt kerja dalam keadaan ekonomi yang gawat sekarang. Tambah pulak usia saya yg dah hampir 50. Atau, apakah masih ada harapan utk mengubat hati yang sakit ini agar dapat menjadi tenang dan redha dgn ketentuan Ilahi.


Team Usrahrasahati memberi pandangan;

Asalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Saya memahami perasaaan saudara, saya ingin mengucapkan tahniah kerana
saudara mampu merasakan status hati yang sakit, dan saudara bertindak
ke arah merawatnya..

Saudara yang dikasihi Allah taala. izinkan saya membuat beberapa
alasan dari kenyataan saudara. andai kiranya wujud salah faham atau
salah erti saya mohon saudara dapat memperbetulkan kefahaman saya..

1. Perkara pertama yang ingin saya sentuh adalah erti kejayaan dalam
hidup. Kejayaan yang sebenar terletak dalam nilaian Allah s.w.t.
terkadang kita merasakan diri kita gagal.. gagal segagal gagalnya!!!
tetapi Allah menyambut kita di mercu kejayaan dan meletakkan kita
sebarisan dengan hambanya yang cemerlang. Dalam menghadapi soal
kehidupan, apa yang akan di tanya dan di soal oleh Allah kelak adalah
usaha kita bukan jumlah kegagalan yang kita hadapi. Kegagalan itu
ibarat batu asah, datangnya ia adalah untuk menajamkan lagi usaha
kita. Lihatlah bagaimana para anbiya' yang berusaha namun hanya
memperoleh bilangan pengikut yang boleh dibilang dgn jari. Kesabaran
dan ketabahan dalam menghadapi kehidupan adalah sesuatu yang akan
dinilai oleh Allah. maka dengan itu saya mengucapkan syabas kepada
saudara kerana berjaya bangun kembali dari terus dibuai oleh lena
kekecewaan yang panjang.


2. Saya juga ingin mengucapkan syukur dan syabas atas kemuliaan
saudara dengan menghargai dan dapat mendengar nasihat isteri,
saudara..., seorang lelaki yang ego agak sukar mendengar nasihat
wanita, apatah lagi seorang isteri. tapi inilah sifat nabi yang
berjaya saudara miliki. Nabi Muhammad pernah menuruti kata isterinya
Ummu Salamah pabila dirundung kekecewaan bilamana para sahabatnya
tidak mahu mematuhi arahannya untuk bertahallul dan membatalkan haji
pada tahun tersebut.


3. Umur bukan faktor utama kejayaan, Rasulullah pada umur 40 tahun
baru dilantik Allah dalam memulakan kerjaya kerasulannya. Malah kita
menjadi lebih matang dalam tindakan kita sebenarnya.


4. Saudara yang dirahmati oleh Allah, perasaan malu dan rendah diri...
2 faktor inilah yang sebenarnya menjadi tembok yang menutup bakat anda
yang disembunyikan.menghalang anda dari menyerlahkan potensi diri
sendiri, apabila 2 faktor ini telah bersarang dalam diri dan hati
saudara maka saudara tanpa disedari telah melantunkan kembali imej itu
kepada orang lain, dan orang lain akan membaca imej yang saudara
pamerkan tersebut.. maka dek kerana itulah saudara menganggap
insiden-insiden yang berlaku itu menambah lagi kepercayaan saudara
terhadap 2 faktor. You are what you think.. walaupun hakikatnya tidak
dan kalaupun ada ia hanya di border line.


5. Saudara, selama kita masih hidup inilah kita sentiasa berpeluang
untuk berubah. memang senang benar rasanya saya mengungkap dan
menyulam kata.. tapi ingatlah Allah tidak pernah memberi cabaran
kepada seseorang yang tidak setimpal dengan kekuatan yang ada dalam
dirinya. dengan kata lain apa yang Allah beri ini dalam bentuk susah
dan senang, duka atau nestapa... Allah maha tahu bahawa saudara MAMPU
berhadapan dengannya.


6. Ketenangan dan kebahagiaan adalah milik semua, kita sendiri yang
menentukannya samada ingin bahagia, tenang atau sebaliknya. Cuba pujuk
hati untuk syukur dan redha dengan ketetapan dan pembahagian Allah,
lihat dan renunglah disana ada orang yang lebih malang dan lebih susah
dari kita, ada orang tak ada pekerjaan dan ada yang ada bumbung untuk
berteduh, renungilah dengan mata hati bertapa kita masih bertuah dan
lebih baik dari orang lain. Jangan dipandang orang yang lebih baik
dari kita sekiranya akan melemahkan diri kita, merosakkan hati kita.

Cuba saudara renungkan, sebenarnya apa yang ada pada diri kita
sebanarnya bukan milik kita, semuanya adalah milik Allah, kita
hanyalah pemegang amanahnya sahaja, janganlah hati kita terikat dengan
dunia ini, apa yang penting adalah redha Allah yang kita perolehi
dalam segala kerja yang kita lakukan.


7. Saudara boleh mulakan dengan memperindahkan solat wajib saudara,
solat di awal waktu, solat di Masjid, memakai haruman, solat
berjemaah, eratkan hubungan sesama jemaah solat. seterusnya disambung
pula dengan solat tahajjud dan puasa sunat. Mulakan mendidik diri
dengan mujahadah melawan nafsu, hiasi diri dengan sifat-sifat yang
baik, sabar, tabah, redha, harap , selalu berdamping dengan Allah
dengan solat yang wajib dan sunat, hampiri orang-orang susah untuk
membentuk hati dan jiwa kita dan membuang sifat sombong dan ego,
dampingi orang-orang soleh dan berilmu untuk mendapat bimbingan,
gantungkan hati dengan masjid dan surau, sentiasa muhasabah diri,
insyaallah Allah akan bukakan hati kearah ketenangan dan kebahagian.
Ingat, hidup di dunia bukan segala-gala tetapi hari akhirat yang
tiada kesudahan adalah kesudahan kehidupan kita.


8. Diketika yang sama buangkan dari hati sifat-sifat mazmumah, keluh
kesah, rasa tak kecukupan, tidak yakin kepada Allah. Apabila hati
bersih, dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah insyaallah kejernihan hati
akan terpancar dan kebahagian yang hakiki akan dirasai.


9. Sekiranya saudara mampu melakukannya sendiri, mencari ketenagan
sendiri, itulah yang terbaik, sebaliknya sekiranya tidak berkemampuan
carilah seseorang yang boleh memberikan sentuhan jiwa ,merangsang hati
dan perasaan mencari ketenangan hati dan jiwa seterusnya menjadi
pencetus pembersihan hati yang berterusan.

Sekian, wallah a'lam.