"Usrah Rasa Hati"...
Masalah Kehidupan;

Saya pernah gagal dalam kerjaya. Selama setahun saya tak berupaya melakukan apa-apa akibat terlalu kecewa dgn kegagalan tersebut. Selepas dinasihat dan dipujuk oleh isteri akhir nya saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.. Setelah tamat pengajian, dalam usia 43, saya memulakan kerjaya baru walaupun terpaksa bermula dari bawah.


Tapi hati saya masih tak tenteram, jiwa saya berkecamuk, perasaan tertekan sehingga saya menjadi seorang yang pasif, tidak bermotivasi. Pendek kata saya ni boleh di kategorikan sebagai staf yang prestasi nya statik. Perasaan rendah diri dan merasakan tidak berupaya masih menebal dalam jiwa.

Saya amat ingin menjadi seorang yang berjaya, tapi oleh kerana hati dan jiwa yang sakit, saya seperti terbelengu dan terpenjara dalam dunia yang sempit yang tiada penghuni melainkan saya. Hati sentiasa merasakan tiada siapa yg suka nak kawan. Lebih-lebih lagi bila ada beberapa insiden yang seolah mengiakan andaian itu.
Apakah yang seharusnya saya lakukan? Adakah saya perlu keluar dari tempat ini dan cari kerjaya lain? Tapi bukan senang nak dpt kerja dalam keadaan ekonomi yang gawat sekarang. Tambah pulak usia saya yg dah hampir 50. Atau, apakah masih ada harapan utk mengubat hati yang sakit ini agar dapat menjadi tenang dan redha dgn ketentuan Ilahi.


Team Usrahrasahati memberi pandangan;

Asalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Saya memahami perasaaan saudara, saya ingin mengucapkan tahniah kerana
saudara mampu merasakan status hati yang sakit, dan saudara bertindak
ke arah merawatnya..

Saudara yang dikasihi Allah taala. izinkan saya membuat beberapa
alasan dari kenyataan saudara. andai kiranya wujud salah faham atau
salah erti saya mohon saudara dapat memperbetulkan kefahaman saya..

1. Perkara pertama yang ingin saya sentuh adalah erti kejayaan dalam
hidup. Kejayaan yang sebenar terletak dalam nilaian Allah s.w.t.
terkadang kita merasakan diri kita gagal.. gagal segagal gagalnya!!!
tetapi Allah menyambut kita di mercu kejayaan dan meletakkan kita
sebarisan dengan hambanya yang cemerlang. Dalam menghadapi soal
kehidupan, apa yang akan di tanya dan di soal oleh Allah kelak adalah
usaha kita bukan jumlah kegagalan yang kita hadapi. Kegagalan itu
ibarat batu asah, datangnya ia adalah untuk menajamkan lagi usaha
kita. Lihatlah bagaimana para anbiya' yang berusaha namun hanya
memperoleh bilangan pengikut yang boleh dibilang dgn jari. Kesabaran
dan ketabahan dalam menghadapi kehidupan adalah sesuatu yang akan
dinilai oleh Allah. maka dengan itu saya mengucapkan syabas kepada
saudara kerana berjaya bangun kembali dari terus dibuai oleh lena
kekecewaan yang panjang.


2. Saya juga ingin mengucapkan syukur dan syabas atas kemuliaan
saudara dengan menghargai dan dapat mendengar nasihat isteri,
saudara..., seorang lelaki yang ego agak sukar mendengar nasihat
wanita, apatah lagi seorang isteri. tapi inilah sifat nabi yang
berjaya saudara miliki. Nabi Muhammad pernah menuruti kata isterinya
Ummu Salamah pabila dirundung kekecewaan bilamana para sahabatnya
tidak mahu mematuhi arahannya untuk bertahallul dan membatalkan haji
pada tahun tersebut.


3. Umur bukan faktor utama kejayaan, Rasulullah pada umur 40 tahun
baru dilantik Allah dalam memulakan kerjaya kerasulannya. Malah kita
menjadi lebih matang dalam tindakan kita sebenarnya.


4. Saudara yang dirahmati oleh Allah, perasaan malu dan rendah diri...
2 faktor inilah yang sebenarnya menjadi tembok yang menutup bakat anda
yang disembunyikan.menghalang anda dari menyerlahkan potensi diri
sendiri, apabila 2 faktor ini telah bersarang dalam diri dan hati
saudara maka saudara tanpa disedari telah melantunkan kembali imej itu
kepada orang lain, dan orang lain akan membaca imej yang saudara
pamerkan tersebut.. maka dek kerana itulah saudara menganggap
insiden-insiden yang berlaku itu menambah lagi kepercayaan saudara
terhadap 2 faktor. You are what you think.. walaupun hakikatnya tidak
dan kalaupun ada ia hanya di border line.


5. Saudara, selama kita masih hidup inilah kita sentiasa berpeluang
untuk berubah. memang senang benar rasanya saya mengungkap dan
menyulam kata.. tapi ingatlah Allah tidak pernah memberi cabaran
kepada seseorang yang tidak setimpal dengan kekuatan yang ada dalam
dirinya. dengan kata lain apa yang Allah beri ini dalam bentuk susah
dan senang, duka atau nestapa... Allah maha tahu bahawa saudara MAMPU
berhadapan dengannya.


6. Ketenangan dan kebahagiaan adalah milik semua, kita sendiri yang
menentukannya samada ingin bahagia, tenang atau sebaliknya. Cuba pujuk
hati untuk syukur dan redha dengan ketetapan dan pembahagian Allah,
lihat dan renunglah disana ada orang yang lebih malang dan lebih susah
dari kita, ada orang tak ada pekerjaan dan ada yang ada bumbung untuk
berteduh, renungilah dengan mata hati bertapa kita masih bertuah dan
lebih baik dari orang lain. Jangan dipandang orang yang lebih baik
dari kita sekiranya akan melemahkan diri kita, merosakkan hati kita.

Cuba saudara renungkan, sebenarnya apa yang ada pada diri kita
sebanarnya bukan milik kita, semuanya adalah milik Allah, kita
hanyalah pemegang amanahnya sahaja, janganlah hati kita terikat dengan
dunia ini, apa yang penting adalah redha Allah yang kita perolehi
dalam segala kerja yang kita lakukan.


7. Saudara boleh mulakan dengan memperindahkan solat wajib saudara,
solat di awal waktu, solat di Masjid, memakai haruman, solat
berjemaah, eratkan hubungan sesama jemaah solat. seterusnya disambung
pula dengan solat tahajjud dan puasa sunat. Mulakan mendidik diri
dengan mujahadah melawan nafsu, hiasi diri dengan sifat-sifat yang
baik, sabar, tabah, redha, harap , selalu berdamping dengan Allah
dengan solat yang wajib dan sunat, hampiri orang-orang susah untuk
membentuk hati dan jiwa kita dan membuang sifat sombong dan ego,
dampingi orang-orang soleh dan berilmu untuk mendapat bimbingan,
gantungkan hati dengan masjid dan surau, sentiasa muhasabah diri,
insyaallah Allah akan bukakan hati kearah ketenangan dan kebahagian.
Ingat, hidup di dunia bukan segala-gala tetapi hari akhirat yang
tiada kesudahan adalah kesudahan kehidupan kita.


8. Diketika yang sama buangkan dari hati sifat-sifat mazmumah, keluh
kesah, rasa tak kecukupan, tidak yakin kepada Allah. Apabila hati
bersih, dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah insyaallah kejernihan hati
akan terpancar dan kebahagian yang hakiki akan dirasai.


9. Sekiranya saudara mampu melakukannya sendiri, mencari ketenagan
sendiri, itulah yang terbaik, sebaliknya sekiranya tidak berkemampuan
carilah seseorang yang boleh memberikan sentuhan jiwa ,merangsang hati
dan perasaan mencari ketenangan hati dan jiwa seterusnya menjadi
pencetus pembersihan hati yang berterusan.

Sekian, wallah a'lam.
1 Response
  1. Assalamualaikum, saya ingin berkongsi pengalaman sendiri bila diusia 40 saya melalui pengalaman yang menyedihkan sampai rasa nak bunuh diri tapi syukur Alhamdulillah saya takut Allah akan campak saya ke neraka jadi saya mengaji, baca Quran walaupun tak lancar dan tak faham setiap hari. Tapi benarlah bila saya dengar satu hari Ustaz Muhammad Abdullah bagi satu andaian dalam rancangan tanyalah ustaz di TV9, orang yang tak memahami Quran tapi terus membaca ibarat cuba mencedok air menggunakan bakul bekas arang, setiap kali ditarik naik, air tak dapat tapi cuba juga, lama-kelamaan bakul tu bersih. Sekarang saya rasa hidup sangat tenang dan aman, belajar banyak perkara baru. InsyaAllah, ujian Allah adalah untuk kebaikan kita jika kita redha dan teruslah berdoa untu menjadi hambanya yang bertaqwa. Doa saya kepada sesiapa pun yang melalui ujian hidup berdoalah dan doakan juga untuk orang lain kerana kita mendapat segala kebaikan dari doa kita untuk orang lain walaupun orang yang menganiayai kita. Dan bersyukurlah kalau kita dizalimi kerana doa orang teraniaya dimakbulkan. kesian orang yang diuji dengan berlaku zalim kepada orang lain. Percayalah Allah penentu segala. Wallahualam.


Catat Ulasan