"Usrah Rasa Hati"...

Diudara pada 8/4/09


SOMBONG DAN TAKABBUR


Sedarlah hakikat kehidupan didunia, tiada yang lebih baik kecuali iman dan takwa.

Firman Allah swt :

إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ قُلُوبُهُمْ مُنْكِرَةٌ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ لَا جَرَمَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur. ( Surah An-nahli: 22-23 ).


Takabbur, sombong, bongkak, angkuh dan adalah sifat yang tercela dalam Islam, sifat yang dibenci oleh Allah Subahanu wataala dan Rasulnya. Kerana itu kita ditegah dari bersikap sombong dan membangga diri.

Firman Allah swt;

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya; Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.” Luqman:18.

Sifat sombong dan takabur menjerumuskan kepada kebinasaan dan kekufuran. Firman Allah swt;

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya; Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. al-Baqarah:34.


Orang yang sombong menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, bangga diri kerana kedudukan, pangkat, kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.


Tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya digunakan dalam kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.

Sifat sombong dan takabbur boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:-


Pertama:


Sombong kepada Allah Subahanau Wataala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subanahu Wataala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada-ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.


Kedua:


Sombong kepada Rasul: Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri.


Ketiga:


Sombong terhadap sesama manusia: Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;


1.Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.

2.Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.

3.Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.

4.Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.

Balasan orang yang sombong.


Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk

Firman Allah swt;

فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Maksudnya: Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur. Al-Nahl:29.

Mengelakkan sifat sombong dan takabbur;

  • Menjaga tutur kata dan perilaku kita supaya sentiasa dalam keadaan baik.
  • Bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah saw yang tidak pernah berlaku sombong. Baginda dengan Ikhlas menziarahi sahabat baginda yang ditimpa sakit atau kesusahan, mebantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput bahkan baginda sendiri pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan khandak.
  • Tingkatkanlah iman dan takwa
  • Takutkan siksaan Allah swt

1 Response
  1. ehmads Says:

    assalamualaikum wbt.

    sifat sombong dan takabbur adalah hakmilik kekal Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu bersikap sedemikian. Memang tidak wajar malahan melanggar fitrah manusia sebagai makhluk yang diciptaNya untuk bersikap sedemikian. Walau bagaimanapun, sikap sombong dan bermegah ketika di medan perang atau ketika menentang musuh kepada agama ini adalah harus. betulkan jika ungkapan ini tersilap. jzk wslm.


Catat Ulasan