"Usrah Rasa Hati"...

Kesabaran dan ketaqwaan merupakan dua sifat hati yang penting untuk menjadi manusia yang baik. Sifat yang boleh membawa kepada kebahagian yang hakiki. Melihat kepada sifat sabar dan taqwa, manusia terbahagi kepada empat jenis;



  1. Orang yang bersabar dab bertaqwa kepada Allah s.w.t. Itulah orang-orang yang berbahagia di dunia dan akhirat, memperolehi kebahagian yang hakiki. Bersabar dalam melaksanakan perintah Allah dan bersabar atas meninggalkan larangan Allah.

  1. Orang yang bertaqwa dengan banyak melakukan amal ibadah dan ketaatan tetapi tidak mempunyai kesabaran atas kesusahan dan kepayahan. Mereka bersabar dalam melakukan ketaatan tetapi tidak mampu bersabar atas musibah yang berlaku.

  1. Orang yang bersabar tetapi tidak bertaqwa kepada Allah s.w.t. Itulah yang berlaku kepada orang-orang jahat, pemaksiat, penjenayah, mereka bersabar atas kesusahan yang dihadapi dalam melakukan maksiat dan kemungkaran.

  1. Orang yang tidak sabar dan tidak bertaqwa kepada Allah s.w.t. Itulah seburuk-buruk manuisa, tidak mahu melakukan ketaatan dan tidak sabar dalam menghadapi kesusahan. Firman Allah swt;


إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (19) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (20) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (21)

Maksudnya; Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.


Keutamaan Peringkat Sabar


Kesabaran dalam melaksanakan kewajipan dan ketaatan merupakan sifat sabar yang paling tinggi kedudukannya. Seterunya diikuti sabar dalam meninggalkan larangan-larangan Allah swt. Pahala sabar dalam meninggalkan larangan Allah lebih besar dibandingkan dengan sabar atas musibah atau bencana yang menimpa.


Kesabaran melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan lebih besar dibandingkan dengan sabar atas musibah dan bencana kerana kesabaran dalam dua bidang adalah pilihan manusia sendiri manakala musibah dan bencana merupakan keadaan yang terpaksa dihadapi.



"Usrah Rasa Hati"...

Faktor-faktor membawa kepada sifat sabar.

1.Memahami realiti hidup ini adalah kehidupan yang penuh dengan ujian dan cabaran.


2. Meyakini bahawa dunia ini semuanya adalah milik Allah dan Allah berhak memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki atau menarik daripada sesiapa yang dikehendaki. Firman Allah s.w.t;


ومابكم من نعمة فمن الله

Maksudnya; Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka Hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan . al-Nahl:53.

إنا لله وإنا إليه راجعون

Maksudnya; Sesungguhnya Kita milik Allah dan Kita akan kembali kepadaNya. Al-Baqarah:156


3. Yakin bahawa disebalik kesusahan ada kesenangan dan kebahagiaan.

فإن مع العسر يسراً إن مع العسر يسراً

Maksudnya; Sesungguhnya pada kepayahan ada kesenangan dan Ingatlah pada kesusahan ada kesenangan.al-Sarh:5-6.


4. Memahami dan merasai bahawa balasan pahala yang besar kepada orang yang sabar. Firman Allah s.w.t;

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang sabar disempurnakan balasan mereka tanpa dihitung. al-Zumar:10


5. Berdoa dan memohon pertolongan dari Allah swt agar sentiasa diberi kesabaran. Firman Allah swt;

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Maksudnya; Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan Sabar dan sembahyang kerana sembahyang itu berat kecuali bagi orang yang khusyu'. Al-Baqarag:45.


6. Beriman dengan qada' dan qadar Allah swt. Firman Allah swt;

ما أصاب من مصيبة في الأرض ولا في أنفسكم إلا في كتاب من قبل أن نبرأها

Maksudnya; Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (Tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan Telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.al-Hadid:22.



"Usrah Rasa Hati"...


Apabila kita diuji dengan kesusahan dan kepayahan lalu kita bersabar, maka hati kita akan tenang dan hati kita akan rasa bahagia. Kita yakin apa yang berlaku adalah ujian dan Allah swt mengetahui apa yang terbaik untuk kita Kebahagian kita boleh perolehi apabila kita bersabar dan menghadapan berbagai masalah dalam kehidupan.



Hakikat ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.


Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.


Sabar adalah sifat mahmudah yang amat penting dalam kehidupan manusia. Sabar membawa kepada kebahagian, sabar akan membawa kepada ketenangan dan sabar membawa redha Allah s.w.t. Apabila seseorang mencapai redha Allah s.w.t maka itulah hakikat kebahagian yang hakiki.


Sifat sabar banyak mempengaruhi kehidupan manusia yang membawa kepada kebaikan sebaliknya orang yang tidak mempunyai sifat sabar akan melakukan perkara-perkara yang boleh memudharatkan dan menyusahkan orang lain. Apabila kita mampu mengawal hati kita dan sematkan sifat sabar didalammnya insyaallah ketenangan dan kebahagian dapat kita rasai.


Banyak tempat Allah s.w.t menyebutkan sifat sabar dalam al-Quran antaranya ialah;

Firman Allah swt;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya; Dan kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.(al-Baqarah:155).


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya; Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.: Dan Allah sayng kepada orang-orang yang sabar.( Ali Imran :200)


إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya; Sesungguhnya Hanya orang-orang yang Bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.(al-Zumar:10)


Sabda Rasulullah s.a.w.

واعلم أن النصر مع الصبر

Maksudnya; Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan dan kejayaan itu bersama orang yang sabar.


Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t berkata;

إذا ابتليت عبدي بحبيبتيه ثم صبر عوضته منهما الجنة

Maksudnya; Apabila Aku menguji hambaku dengan kehilangan dua orang yang disayangi lalu ia bersabar nescaya aku gantikan keduanya dengan syurga.


Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Bersabar dalam mengerjakan segala perintah Allah.

2. Bersabar dalam meninggalkan segala larangan Allah

3. Bersabar dalam menghadapi ujian kesusahan dan kepayahan.


Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.


Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.


Dengan sikap dan perasaan seperti ini seseorang dengan sifat sabar akan merasa tenang dan bahagia seterusnya kehidupnnya dalam keadaan yang bahagia walaupun apa yang di hajati tidak kesampaian atau kehilangan sesuatu yang disayangi.

"Usrah Rasa Hati"...

.

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang tidak sepatutnya ada pada seorang muslim mukmin. Justeru usaha untuk mengelakkan diri dari sifat marah menjadi satu kewajipan. Sifat marah yang wajib dibuang dari diri seseorang ialah sifat marah yang dilarang. Tidak semua sifat marah dilarang ada kalanya wajib kita marah dan terkadang diharuskan kita marah. Kemampuan kita mengurus kemarahan akan membawa kita kepada situasi yang tenang dan membahagiakan.

Sifat marah dari sudut hukum boleh dibahagikan kepada tiga bahagian



1. Marah yang dipuji ( al-ghadhab al-mahmud )

Perasaan marah dituntut apabila berlakunya pencabulan dan perlanggaran terhadap larangan-larangan Allah s.w.t. Sifat ini adalah hasil dari keimanan yang kuat terhadap Allah swt kerana orang yang tidak marah terhadap pencabulan dan pelanggaran larangan Allah dianggap sebagai orang yang lemah iman.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w melihat para sahabat bertelagah berkaitan keimanan dengan qadr lalu berubah air muka Rasulullah s.a.w kerana marah lalu berkata;

بهذا أمرتم ؟ أو لهذا خلقتم ؟ تضربون القرآن بعضه ببعض بهذا هلكت الأمم قبلكم )

Maksudnya; Inikah yang kamu disuruh? Atau untuk inikah kamu dijadikan memperdebatkan al-quran dengan al-quran, ingatlah dengan sebabini umat terdahulu dibinasakan.


Sabda Rasulullah s.a.w;

من رأى منكم منكراً فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان.


Maksudnya; Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangan (kekuasaan) sekiranya tidak mampu ubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubah dengan hati, itulah selemah-lemah iman.

Sikap untuk mengubah, menegur atau rasa tidak suka tidak akan timbul pada diri seseorang sekiranya tidak ada perasaan marah terhadap sesutau perkara. Kecantikan Islam dalam marah ialah apabila kira dapat mengurus sifat marah dengan cara hikmah dan bijaksana bukan dengan cara mengikut perasaan dan nafsu seperti memaki hamun, mencerca, memukul atau tidakan-tindakan yang negatif.


2. Marah yang dicela ( al-ghadhab al-mazmum )


Marah yang dilarang dan dicela ialah apabila marah terhadap pelaksanaan perintah Allah swt atau marah yang didorong oleh perasaan dan hawa nafsu seperti marah dan tidak suka dengan pelaksanaan hukum-hukum Allah s.w.t, marah dengan usaha dakwah, marah dengan pelaksanaan syiar Islam dan lain-lain.

Sifat marah dalam kategori ini dicela dan dilarang kerana ia adalah sifat orang-orang kafir yang sentiasa tidak suka dan tidak senang apabila orang mengamalkan dan menghayati Islam. Mereka nenunjukkan perasaan mereka dengan menunjukkan rasa marah apabila ajaran-ajaran Islam diamalkan dalam kehidupan manusia.


3. Marah yang diharuskan ( al-ghadhab al-mubah )


Marah yang diharuskan ialah marah yang tidak melanggar perintah Allah s.w.t dan tidak melampaui batasan. Sebab itulah orang yang dapat mengawal perasaan ini disukai oleh Allah s.w.t. seperti marah apabila tidak tahu perkara yang sepatutnya diketahui, marah apabila tidak melakukan pekerjaan dengan baik dan lain-lain.


Firman Allah s,w,t;

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


Maksudnya; Dan orang yang mengekang kemarahan dan memberi kemaafan kepada orang lain, dan Allah suka kepada orang-orang yang baik.

Kesimpulannya wajib marah apabila hak Allah dilanggar, haram marah apabila hak-hak agama dilaksanakan dan harus marah pada perkara-perkara berkaitan kehidupan dengan syarat tidak melampaui batasan dan berakhlak bertujuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.

Ibnu Hibban menyatakan manusia sentiasa bertentangan antara marah dan kelembutan, siapa yang marah dengan kelembutan tidaklah dicela selama marahnya tidak dilarang.

Manusia dari sudut kekuatan sifat marah ada tiga peringkat;


  1. Pasif ; Orang yang tiada perasaan marah, hilang dari dirinya sifat marah.
  2. Aggresif; Orang yang pemarah, baran, tidak mampu dikawal oleh akal dan agama, hilang kewarasan diri ketika marah.
  3. Moderet; iaitu pertengahan, orang yang dapat mengawal perasaan marah menggunakan akal dan agama.


Renungan; Sekiranya kita dapat mengurus kemarahan kita, mengikut pertimbangan akal dan agama, marah tanpa menyebabkan orang lain sakit hati atau rasa dianiaya, sedia menerima kekurangan orang lain dan memaafkan kesilapan orang lain, hati kita akan tenang dan bahagia.

"Usrah Rasa Hati"...
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Bersempena dengan hari terbuka Radio Ikim FM pada 8 ogos 2009, seluruh warga Ikim dan usrah rasa hati dengan berbesar hati menjemput rakan-rakan pendengar setia program usrah rasa hati diradio untuk menyertai majlis taaruf dan muzakarah perkongsian rasa hati dengan semua pendengar setia.

Alhamdulillah Program Radio yang telah bermula sejak 19 minggu yang lalu terus mendapat tempat di Hati Masyarakat dan diharapkan dapat membentuk satu wacana yang boleh menjana perubahan sikap,menguatkan keazaman dan mencetus perubahan dalam menghadapi kehidupan dunia yang serba mencabar ini.



Salam Ukhuwwah
Team usrahrasahati.