"Usrah Rasa Hati"...
1. Kata-kata Bidalan.

Bila hati rosak,
Matanya jadi mata keranjang,
Matanya jadi mata duitan,
Hidungnya jadi hidung tinggi,
Mulutnya jadi mulut tempayan
Lidahnya lidah bercabang
Tangannya jadi tangan panjang,
Kakinya jadi kaki ekor,
Najisnya najis dadah,
Tahinya tahi arak,
Apabila hatinya rosak, semua perlakuannya mejurus kepada perkara yang rosak.

2. Menghilangkan rasa marah dan dendam.

Ingat dua perkara, lupakan dua perkara,

Ingatkan kejahatan kita dan ingatkan kebaikan orang lain dan nikmat Allah.
Lupakan kebaikan kita dan lupakan kejahatan orang lain terhadap kita.

Latih diri untuk sentiasa memafkan orang lain berulangkali, insyaallah akan menjadi seorang yang pemaaf.
"Usrah Rasa Hati"...

Diudara pada 1 April 2009 insyaallah


Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, Kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah swt;


الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ


Maksudnya; Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (al-Ra'd:28)

Sabda Rasulullah saw;


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.


Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.


Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.



Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;


1. Penyakit hati terhadap Allah.

2. Penyakit hati terhadap manusia.


Antara penyakit hati terhadap Allah


1. Lalai dalam beribadah

2. Lalai dari mengingati Allah

3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah

4. Tidak ikhlas dengan Allah

5. Tidak takut pada ancaman Allah

6. Tidak harap pada rahmat Allah

7. Tidak redha akan takdir Allah

8. Tidak puas dengan pemberian Allah

9. Tidak sabar atas ujian Allah

10.Tidak syukur atas nikmat Allah

11.Tidak terasa diawasi Allah

12.Tidak terasa hebatnya Allah

13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah

14.Tidak tawakal pada Allah

15.Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka

16.Cintakan dunia.

17.Penakut (takut pada selain Allah)

18.Ujub

19.Riak

20.Sukakan pujian dan kemasyhuran


Antara penyakit hati terhadap manusia


1. Benci membenci

2. Gembira atas kesusahan orang lain.

3. Dukacita atas kejayaan orang lain.

4. Harap keburukan terhadap orang lain.

5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain

6. Hasad dengki

7. Dendam

8. Bakhil

9. Buruk sangka

10.Tidak bertolak ansur

11.Tidak bertimbang rasa

12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong

13.Tamak

14.Degil dan keras hati

15.Mementingkan diri sendiri

16.Sombong

17.Tidak sabar dengan ragam manusia

18.Memandang hina kepada seseorang

19.Riak

20.Ujub

21.Rasa diri bersih dan suci.

"Usrah Rasa Hati"...
Hati yang sakit mengakibatkan pandangan dan tanggapan hati terhadap sesuatu tidak betul. Hati yang sakit menyebabkan kebenaran tidak dapat dilihat walaupun ianya merupakan satu kebenaran, hati yang sakit melihat kebatilan sebagai satu kebenaran, atau ia melemahkan pemahamannya terhadap sesuatu kebenaran lalu mematikan hatinya untuk menerima kebenaran.

Hati yang sakit menyebabkan hati membenci kebenaran yang memberi kebaikan kepadanya. Hati yang sakit menyukai kebatilan sedangkan kebatilan itu akan memudaratkannya. Hati yang sakit juga tidak tahu memilih antara kebenaran dan kebatilan, akhir cenderung kepada kebatilan kerana mengikut hati dan perasaan.

Justeru orang yang hatinya sakit sukar untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Apabila melihat sesuatu dia akan melihat manusia yang melakukan atau kejadian semulajadi, lupa bahawa Allah swt yang sebenarnya menjadikan tiap sesuatu. Apabila ditimpa bala dan bencana, mereka melihat manusia yang menyebabkan bala bencana tetapi mereka tidak nampak ia merupakan qada' dan qadar dari ilahi.

Berbeza dengan orang yang hatinya sihat dengan cahaya keimana, mereka melihat semua perkara ada hikmahnya dan ditentukan oleh Allah swt, pasrah dan redha menjadi hiasan hati, kehidupan yang bahagia sentiasi dimiliki.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.

Kebiasaannya orang yang hatinya sakit tidak merasa tenang, tidak merasa bahagia walaupun dikelilingi berbagai nikmat dan kemewahan, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, kebiasaannya membuat sesuatu diluar dari kewajaran dan rasional. Hatinya penuh dengan macam-macam penyakit hati menyebabkan sakitnya bertambah parah.

Sebab-sebab hati sakit;

1.Lupakan Allah, lupa dari mengingati Allah, lupa bahawa Allah tidak alpa dari apa yang dilakukan oleh manusia, lupa bahawa Allah lah yang menentukan segalanya, lupakan Allah kerana kurang mengingati Allah, dan hati lebih terikat kepada perkara-perkara yang disukai selain Allah.
2.Lupakan perintah-perintah Allah kerana tidak suka kepadanya, mengutamakan keseronokan dan hatinya sentiasa terikat dengan dorongan nafsu syaitan.
3.Lupakan hari kiamat, tidak mengingati mati, kurang mengingati dosa dan pahala, kurang mengingati hari pembalasan, syurga dan neraka

Apabila ketiga-tiga sebab tadi terangkum dalam hati manusia maka beratlah untuk melakukan ibadah, sebaliknya ringan pula untuk melakukan dosa dan maksiat, mengutamakan urusan dunia dan meninggalkan urusan berkaitan akhirat, mendahulukan keinginan nafsu dan mengambil ringan perintah Allah, melampaui batasan-batasan agama, menjadi orang yang zalim dan mendahulukan keinginan diri dari kehendak Allah

Perkara-perkara yang boleh merosakkan hati;

1.Jahil agama.
2.Pergaulan dengan orang-orang yang hatinya sudah rosak, hatinya mati dan menjadikan mereka sebagai teman.
3.Suka berangan-angan dan berkhayal tentang sesuatu yang tak kan dapat dicapai.
4.Bergantung dengan selain daripada Allah swt.
5.Banyak makan dan sentiasa memikirkan tentang makanan, tidak menghiraukan halal haram dalam urusan makanan.
6.Banyak tidur, orang yang banyak tidur mensia-siakan masa, pelupa dan pemalas
"Usrah Rasa Hati"...
Mengenang Lagenda Islam

Ingin kami menarik perhatian saudara saudara sekelian
terhadap program Mengenang Lagenda Islam. Program ini membentangkan
sejarah dan kisah kisah benar yang selama ini disembunyikan /
didustakan oleh para ilmuan bukan
Islam, contohnya :-

1. Syiar Islam telah bertapak di Amerika seawal tahun 791 M
dimulakan oleh umat Islam bangsa Maghrawan yg pakar dalam pembinaan
kapal.

2. Qeis Al Marakesh bin Saeed bin Aswad
mengadakan hubungan dagang dibenua Amerika dan
pulang pada tahun 889 M, lebih kurang 600 tahun
mendahului Columbus yang mencatatkan tentang adanya tamadun
'Muhammadean' disana.

3. Pertempuran 'Ain Jalut (1260 M) menyaksikan
bahawa tentera Islam lah yang memulakan penggunaan
meriam, dan melakar sejarah Sultan Saifudin Quddus
sebagai orang pertama yang menewaskan Monggol,
di Lembah Jazreel Palestine.

4. Fitnah yang mengakibatkan Panglima Jeneral
Abu Laila ( Ma Lan Yu) dihukum mati (tahun 1398)
dengan hukuman disiat kulitnya. Sedangkan
Panglima Islam itulah yang memimpin tentera
Maharaja Ming (Hongwu) keluar dari tembok besar dan
mengganyang Monggolia sekaligus menyelamatkan Dinasti Ming.

Maklumat sejarah ini kami perolehi dari Kajian Andak
yang merupakan hasil penyelidikan selama 20 tahun dari
tahun 1990. Ia adalah rangkuman fakta fakta sejarah
meliputi ketamadunan Islam, bermula dengan sejarah
Khulafak Ar Rashyidin,
bertapaknya Islam di China pada zaman Khalifah 'Usman
Ibni Affan dan tersebarnya Islam ke Nusantara seawal
kurun ke 7 masihi.
Diikuti dengan sejarah empayar empayar Islam Bani
Ummayyah, Abbasiah dan seterusnya.
Faktor 'kesamaan waktu' terciptanya sesuatu sejarah
membuka ruang untuk kami menggabungkan peristiwa
peristiwa besar yang terukir didalam empayar Islam dan era dinasti China.

Penyelidikan lengkap ini juga menyediakan platfom untuk mentafsir
sebahgian peristiwa peristiwa yang terjadi
berpandukan fakta fakta sejarah, geografi dan corak
cuaca dunia (world weather pattern).

Dengan Tafsiran yang adil, kami memperbetulkan fakta
fakta dan maklumat maklumat yang batil atau tidak tepat
atau mengelirukan dan berniat jahat terhadap Islam,
(Rujukan: Abul Hassan Ali Bin Al Hussin Al Mas'udi 940 M).
(Rujukan: 'Tzu Chih T'ung Chien' tulisan Szu Ma Guang
terbitan tahun 1084 M).

Pemerintah Empayar 'Usmaniyyah tidak mengetahui
bahawa puak puak Red Indian di Amerika adalah
saudara seIslam ketika kafirin menjajah Amerika utara!
Seandainya Pemerintah Empayar 'Usmaniyyah
mengetahui sejarah ini, demi Allah tidak akan dibiarkan
penyembelihan saudara seIslam disana.
Pada Tahun 1866 M ada seorang ketua puak Red Indian
Islam bernama Chief Ramadhan Watiq'. (Rujukan: Prof.
Dr. Hisyam Zubier - The Consealed Truth dan Syeikh Abdullah Hakim
Quick ? The Deeper Root.)

Kajian Andak diharapkan dapat mendorong Kebangkitan Umat Melayu Islam
demi mendaulatkan Islam dimuka bumi.

Andak Samad Osman
013 608 2929

Hasil penyelidikan ini harus disebarkan ketengah masyarakat demi
kebenaran dan demi kegemilangan Islam. Dengan penekanan kearah
menyemai minat dan menanam semangat kepada generasi muda, kami
mencadangkan pihak kerajaan, badan badan koporat dan individu individu
yang berkemampuan agar mempopularkan sejarah kegemilangan Islam dengan
cara:

1.Penceritaan (Story telling) menerusi media elektronik.
2.Pementasan mingguan.
3.Drama bersiri (based on true history).
4.Filem (based on true history).

Penulisan skrip yang berpandukan maklumat lengkap Kajian Andak bakal
menghasilkan produksi yang tinggi mutunya InsyaAllah.

Kami juga menyediakan prosedur penyampaian bagi segmen / slot
penceritaan (Story telling) dalam 3 bahagian:

a. Penceritaan kepada umum
b. Penceritaan kepada remaja
c. Penceritaan kepada kanak kanak.

Seterusnya inisiatif mempopularkan sejarah Kegemilangan Islam ini
bakal menyediakan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia.

Kami ingin umat Melayu Islam berbangga dengan sejarah Kegemilangan
Islam dan demi mendaulatkan Islam dimuka bumi.
"Usrah Rasa Hati"...
Hati yang sudah mati ialah hati tidak berfungsi sebagaimana fitrahnya hati itu dijadikan. Fitrah kejadian hati ialah untuk menerima aqidah dan keimanan kepada Allah swt. Hati yang mati telah ditutup dan dihijab oleh Allah swt daripada menerima iman dan hidayah Allah swt. Hati diselubungi dan dikuasai oleh hawa nafsu syaitaniah yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan dosa, maksiat dan kejahatan.

Apabila hati sudah tidak berfungsi, maka hawa nafsulah yang menerajui kekuasaan hati, Justeru kehidupan mereka bergelomang dengan dosa dan maksiat. Kehidupan mereka penuh dengan kesombongan dan ketakabburan. Kehidupan mereka tiada panduan, apa yang mereka lakukan berdasarkan kepada perasaan. Mereka berada dalam kesesatan dan kedurjanaan sedangkan mereka tidak menyedari kesesatan dan kedurjanaan yang mereka lakukan disebabkan hati mereka sudah mati dan tertutup.

Firman Allah swt;

الَّذِينَ يُجَادِلُونَ فِي آَيَاتِ اللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَانٍ أَتَاهُمْ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ الَّذِينَ آَمَنُوا كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ (35)) [غافر:

Maksudnya; Dan orang-orang yang menyanggah ayat-ayat Allah tanpa mendatangkan bukti, kemurkaan amat amat besar disisi Allah swt dan orang-orang yang beriman. Begitulah Alllah menutup hati yang sombong dan takabbur.

Ciri-ciri hati yang mati.

Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah swt. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah swt. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah swt dan Rasulnya serta perkara-perkara yang wajib diimani sebagai orang Islam.
2. Menyekutukan Allah swt .
3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.
4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.
5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.
6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.
7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.
8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.
9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

Ya Allah ya Tuhan kami, lindungilah kami dari hati yang mati, hati yang tidak mengenaliMu ya Allah, hati yang jauh dari hidayahMu ya Allah.
"Usrah Rasa Hati"...

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Allah menciptakan Nabi Muhammad s.a.w sebagai sebaik-baik manusia, terbaik akhlak dan budi pekertinya. Beliau memiliki kesempurnaan diri dan jiwa sehingga beliau merupakan makhluk yang paling baik dan sempurna.

Justeru sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, Team Usrah Rasa Hati mengucapkan selamat memperingati Rasulullah s.a.w, semoga hati kita sentiasa mencintainya lebih dari mencintai yang lain, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Baginda s.a.w semoga hati kita dilimpahi nur dan hidayah keimanan, dianugerahkan ketenangan dengan mengingatinya sebagai mana tenang mengingati kekasih.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud " Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).

“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

Apa yang lebih penting dalam memperingati kalahiranNya ialah menjaga adab-adab terhadap Nabi kita, Muhammad s.a.w dan menghayatinya, antaranya;

  • Menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan dari seluruh makhluk Allah.
  • Mentaati Nabi Muhammad s.a.w di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.
  • Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad s.a.w. apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, dan mencontohi sifat-sifatnya.
  • Membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  • Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.
  • Mencintai para pengikutnya karena mereka mencintai Nabi Muhammad s.a.w serta memusuhi golongan fasiq kerana mereka membenci Nabi Muhammad s.a.w.

Salam hormat,

Team Usrah Rasa Hati
"Usrah Rasa Hati"...
Diudara pada 11/3/2009


Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis;Hati yang sejahtera ( qalbun salim ), Hati yang sakit ( qalbun saqim) dan hati yang mati ( qalbun mayyit )

Hati yang sejahtera ( qalbun salim )

Firman Allah swt;
(يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) [الشعراء: 88، 89].

Maksudnya; Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang dating kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Hati yang baik di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang baik ( qalbun salim ). Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau radhai.

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;
  • Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.
  • Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.
  • Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.
  • Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.
  • Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt.
  • Berperibadi dengan akhlak yang mulia.
  • Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.
  • Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan ilahi.
"Usrah Rasa Hati"...
Diudara pada 4/3/2009

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah swt, pada hari ini untuk kali pertama kita berusrah di udara, semoga usrah yang kita adakan dapat memberi manfaat kepada kita dan para pendengar kearah menjadi umat Islam yang berkualiti.

Usrah hari ini akan membincangkan satu tajuk berkaitan dengan hati. Kenali hati, itulah tajuk yang akan kita bincangkan.

Hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan hati manuisa dapat hidup dengan erti kata yang sebenarnya dan tanpa hati atau hati yang mati, hidup seseorang tidak bererti.

Hati dalam kehidupan manusia terbahagi kepada dua. Kedua-duanya merupakan elemen penting dalam kehidupan manuisa.

Pertama; hati jasmani yang menjadi organ penting dalam tubuh manusia,ikenali juga sebagai "liver", hati yang berperanan sebagai penapis darah, menghasilkan hempedu dan berbagai macam fungsi untuk memastikan keseimbangan badan manusia supaya sentiasa sihat. Sekiranya hati ini gagal berfungsi maka berbagai komplikasi kesihatan akan terjadi dalam tubuh manusia.

Kedua hati rohani atau dikelani sebagai fuad, af'idah, basirah, lub, albab ,mata hati. Hati yang tidak dapat dirasa dengan panca indera tetapi menjadi peneraju dan pemandu kepada kehidupan manusia. Sering juga dipanggil hati nurani. Berkaitan hati ini, Rasulullah saw bersabda diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;

أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ،وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

"Dalam diri manusia itu terdapat seketul daging. Apabila daging yang seketul itu baik maka akan baiklah seluruh tubuh badannya. Dan apabila rosak daging yang seketul akan rosaklah tubuh badannya. Dan daging yang seketul itu ialah hati."
Dalam usrah kali ini kita akan membincangkan hati dari sudut bahagian kedua iaitu hati dengan makna hati rohani atau hati nurani kerana perbincangan hati dari aspek makna jasmani menjadi perbincangan para doktor perubatan.

Rasulullah saw dalam hadis di atas menjelaskan fungsi kedua-dua hati yang telah kita ketahui, samada hati jasmani yang berupa seketul daging, mahupun hati rohani yang mengawal segala tindakan manusia. Begitulah hebatnya Rasulullah saw dalam menerangkan hakikat kejadian manusia berasaskan wahyu Allah swt dan hakikat kejadian hati ini telah terbukti oleh penyelidikan sains hari ini. Ini adalah tanda kebesaran Allah swt, bukti bahawa segala yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah satu kebenaran. Justeru amat rugilah mereka-mereka yang menolak wahyu dan pertunjuk Allah swt.


Hati dalam diri manusia adalah raja yang menentukan tingkah laku dan perbuatan manusia. Hati merupakan penggubal dasar dan prinsip kehidupan yang akan dilalui oleh seseorang manusia. Hati berperanan sebagai pembuat keputusan apabila manusia perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Terlalu besar peranan hati dalam kehidupan manusia sehingga Rasulullah saw menyatakan "apabila hati itu baik maka baiklah segala anggotanya dan apabila hati itu rosak maka rosaklah segala anggota manusia.

Hakikat ini memang benar, kerana hati yang baik, akan dipenuhi dengan iman dan taqwa, apabila hati dipenuhi dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap, maka ia akan memandu seluruh anggota untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah, apabila hati itu baik, ia akan dipenuhi dengan segala macam sifat mahmudah, yang akan dijelmakan dalam berbagai bentuk akhlak yang mulia.

Sebab itulah orang yang hatinya baik akan sentiasa melakukan solat, khusuk dalam solatnya dan solatnya dapat menghindarkan diri dari segala macam dosa dan maksiat, hatinya akan sentiasa mendorong pemiliknya untuk bersifat dengan sabar, lemah lembut, penyayang, pemurah dan berbagai-bagai budi pekerti yang mulia.

Orang yang hatinya baik tidak kebaratan untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat bahkan hatinya rasa tenang dan gembira apabila bersedekah dan berzakat.

Orang yang hatinya baik tidak akan melakukan rasuah, tidak akan menipu, tidak akan melakukan khianat, tidak akan berbohong dan tidak akan melakukan berbagai perbuatan tidak bermoral kerana takut dengan muraqabah Allah dan siksaan yang dijanjikan di akhirat nanti, disamping menyedari ia akan menyebabkan malapetaka dan kerosakan kepada umat manusia.

Orang yang hatinya baik, akan sentiasa menghormati orang lain, menghormati jiran tetangga, walaupun jiran bukan islam , kerana mereka tahu ia adalah tuntutan agama.

Ringkasnya orang yang hatinya baik itu ialah orang yang hatinya dipandu oleh iman dan hidayah Allah swt, manusia yang cukup sempurna menepati tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini, Contoh yang paling hampir kepada kita ialah Rasulullah saw. Manusia agung yang dihiasi dengan budi pekerti dan akhlaq mulia kerana hatinya yang bersih, disucikan oleh malaikat Jibril dengan kehendak dari Allah swt.

Sebaliknya orang yang mempunyai hati yang rosak, hati yang ditutup oleh Allah swt, hati yang dikuasai oleh hawa nafsu, mendorong kepada dosa dan maksiat, hawa nafsu yang mendorong kepada keseronokan songsang, maka kita lihat manusia ini hidupnya tidak karuan, hidupnya tiada matlamat, tiada ketenangan dalam diri, dan jauh dari itu mereka sentiasa menjadi perosak kepada masyarakat, mereka menjadi duri yang sentiasa menyakiti orang lain, menjadi masalah kepada masyarakat, mereka menjadi racun yang mematikan hati-hati yang baik dan membawa mereka kepada kehinaan, dan yang lebih malang mereka yang mempunyai hati yang rosak ini menjadi tunggangan syaitan yang sentiasa berkerja dan berusaha membawa manusia bersama-sama mereka ke neraka jahannam.

Sebab orang yang hatinya rosak tidak ada hati perut, orang yang hatinya mati tidak ada perasaan belas kasihan, orang yang hatinya sakit ini tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka sebagaimana yang ditunjukkan oleh orang-orang yahudi yang memang telah ditutup hatinya dari pertunjuk dan hidayah Allah swt, nauzubillahi min zalik .

Orang-orang yang hatinya sudah rosak tidak merasa bersalah apabila mereka mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah, salahguna kuasa, kerana hawa nafsu sudah menguasai mereka.

Begitulah besarnya peranan hati dalam kehidupan manusia. Oleh itu marilah sama-sama kita mengenali diri kita dan perbaiki diri kita supaya dengan hati yang baik keita menjadi manusia yang baik seterusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah saw bersabda;

خير الناس أنفعهم للناس

Maksudnya ; Sebaik-baik manusia ialah manusia yang paling berguna kepada orang lain.
"Usrah Rasa Hati"...
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Selamat bertemu di dalam usrah rasa hati semoga rakan-rakan usrah sentiasa mendapat limpahan rahmat dari ilahi dan dianugerahkan dengan hati yang baik seterusnya dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Laman blog ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada para pendengar radio IKIM mengikuti siri usrah rasa hati yang disiarkan setiap hari rabu 06.15 petang setiap minggu. Laman ini juga memberi ruang kepada rakan-rakan usrah untuk berinteraksi dengan team Usrah Rasa Hati. Satu proram baru yang telah diadakan bersama Pengarah radio IKIM , IR. Ahmad Jais.

Program ini berasaskan kepada program pengisian ilmu, tetapi diketengahkan kepada pendengar melalui format usrah untuk menjadikannya sesuatu yang dekat kepada para pendengar.

Perbincangan-perbincagan yang dilakukan menjurus kepada persoalan hati yang menjadi tunjang kepada perlakuan dan tindakan manusia seterusnya dikaitkan dengan kehidupan semasa dan cuba merungkai permasalahan-permasalahan tersebut dan mencari penyelesaiaannya.

Pihak penganjur mengharapkan program ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para pendengar khususnya dalam mendidik hati supaya menjadi hati yang baik, hati yang sejahtera, hati yang selamat, akhirnya mendapat keredhaan Allah swt. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih berharga dan bernilai dalam kehiudpan ini selain mendapat keredhaan Allah swt.

Harapan kami juga semoga program ini dapat memberikan cadangan-cadangan penyelesaian kepada para pendengar bagi menyelesaikan masalah-masalah dalam kehidupan seharian mealalui pendekatan hati.

Kami menyedari kami bukanlah yang terbaik dalam membincangkan persoalan hati, Justeru kami mengharapkan input-input, cadangan, teguran dan pandangan rakan-rakan usrah di mana sahaja mereka berada untuk dikongsi bersama.

Kepada rakan-rakan usrah yang sudi memberikan komen dan pandangan dan berinteraksi dengan kami, kami, team usrah rasa hati radio IKIM amat menghargai dan mengalu-alukan. Sila hantar komen dan pandangan anda di laman blog ini atau terus ke email usrah rasa hati di alamat usrahrasahati@gmail.com

Salam hormat dari kami,

Team Usrah Rasa Hati.
Label: , , 1 ulasan | | edit post