"Usrah Rasa Hati"...



Diudara pada 27/5/2009


Islam melarang kita bersikap takabbur sebaliknya diperintahkan bersikap dengan Tawadhu'. Tawadhu' bererti merendah diri, menghinakan diri, merasakan diri serba kekurangan. Hanya Allah sahaja layak besifat dengan Takabbur sesuai dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.


Adakah sifat tawadhu' ini merupakan sifat yang negatif? Atau sifat pasif yang mengakibatkan umat Islam menjadi lemah, tidak mempunyai semangat, tidak mempunyai daya juang, menolak kemajuan dan berbagai-bagai sikap yang negatif?


Setengah golongan menganggap jika kita sentiasa merendah diri, kita akan dihina, kita tidak dihormati, kita tidak akan menjadi bangsa yang disegani dan menganggap merendah diri sesuatu yang sinonim dengan kehinaan dan kelemahan.


Pastinya tawadhu' tidak bermaksud sedemikian.Tawadhu' tidak menafikan sikap izzah dan kemuliaan yang mesti ada pada setiap muslim dan mukmin. Umat Islam mesti ada perasaan mulia dan Izzah diri dengan Islam yang dianuti.


Apakah yang dimaksudkan dengan izzah dan rasa kemuliaan dan rasa harga diri? Izzah bermaksud kita bangga dengan agama, dengan Allah, Rasul, amal salih, ilmu yang bermanfaat, serta dakwah kepada Allah. Itulah izzah berkosepkan iman.

Firman Allah,


وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ


Maksudnya; Kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang yang beriman, tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui” [Al-Munafiqun : 8]

Ayat ini menegaskan bahwa kemuliaan hanya milik Allah, RasulNya dan kaum mukminin.

فلَا تَهِنُوا وَتَدْعُوا إِلَى السَّلْمِ وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَنْ يَتِرَكُمْ أَعْمَالَكُمْ


“Artinya : Janganlah kamu merasa lemah dan meminta perdamaian, padahal kamulah yang di atas dan Allah (pun) beserta kamu dan dia sekali-kali tidak akan mengurangi (pahala) amal-amalmu” [Muhammad : 35]


Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ

Maksudnya; Tidak selayaknya seorang mukmin menghinakan dirinya” Menghinakan diri dengan melakukan perkara yang boleh menghinakan mereka sendiri.

Tetapi di sudut yang lain kita mesti merasa mulia, merasa hebat, merasa bangga dengan keimanan kita, dengan agama Islam yang dianuti, dan dengan syiar Islam yang menjadi lambang agama Islam.

Firman Allah swt;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ.

Maksudnya;Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir. Al-Maidah:54.

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya; Demikianlah (perintah Allah). dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, Maka Sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati. Al-Haj:32.

وعن ابن عباس قال : قال رسول الله ? : " من تمسك بسنتي عند فساد أمتي فله أجر مائة شهيد " رواه البيهقي.

Maksudnya; Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa yang berpegang dengan sunnah aku ketika umat kau telah rosak, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid.

قال عمر بن الخطاب: " نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله.

Maksudnya; Saidina Umar bin al-Khattab berkata; kami adalah satu bangsa yang Allah berikan kemulian kerana Islam, maka apabila kita mencari kemulaian dengan selain Islam, nescaya Allah akan hinakan kita.

Oleh itu, sebahagaian dari tuntukan keimanan kita ialah kita mesti merasa izzah, marasa mulia, merasa bangga dengan Islam yang kita anuti, Antara sikap yang mesti ada pada setiap muslim ialah;



  • Merasa yakin dengan ajaran-ajaran Islam.
  • Merasa bangga dengan syiar-syiar Islam dalam kehidupan seperti ibadah haji, sembahyang jumaat, sembahyang berjamaah, puasa dan lain-lain yang menjadi lambang agama Islam.
  • Merasa mulia dengan penghayatan sunnah Nabi dalam kehidupan, bukannya merasa malu untuk melakukannya.
  • Bersikap tegas dan tidak ambil mudah dalam urusan agama.
  • Menunjukkan ketegasan dan kekuatan terhadap orang-orang yang memusuhi umat Islam.
  • Bersungguh-sungguh dalam usaha menegakkan syarit Islam dalam semua aspek kehidupan.
  • Berpegang tuguh dengan dasar-dasar dan prinsip-pinsip Islam berkaitan halal dan haram dalam urusan kehidupan.


Kita mesti mempunyai sikap izzah, merasa mulia, merasa bangga dengan agama Islam yang menjadi anutan kita supaya Islam dihormati, umat Islam dipandang tinggi oleh orang lain, umat Islam tidak dipandang hina oleh orang lain. Tetapi kemuliaan dan keangungan ini terhasil dari sifat tawadhu' dan budi pekerti yang baik yang ada pada diri orang Islam.


Umat Islam menjadi umat yang disegani dan dihormati bukan kerana kesombongan, kekerasan, kemajuan, kekayaan dan kekuasaan mereka tetapi umat Islam dipandang tinggi, umat Islam disegani oleh orang lain kerana sikap yang baik, budi yang luhur akhlak yang mulia dan keperibadian yang terpuji.


Lihatlah contoh ketegasan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan hukum agama sehingga Baginda berkata, sekianya Fatimah anak perempuam Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya, menolak rayuan golongan bangsawa Arab supaya dikecualikan dari hukuman tersebut.


Renungi kehebatan Rasulullah s.a.w, disegani dan dihormati bukan kerana kekuasaan yang dimilki tetapi budi luhur dan akhlak mulia yang menghiasi diri.


Contohi ketegasan Umar dan penggunaan harta karajaan sehingga beliau mematikan lampu apabila urusan yang dilakukan adalah urusan peribadi bukan urusan negara. Hayati pengorbanan beliau dengan memikul gandum sendiri lalu diberikan kepada orang miskin.


Semoga umat Islam dapat mengembalikan izzah dan kegemilangan umat Islam sebagaimana telah ditempa oleh umat terdahulu.

"Usrah Rasa Hati"...

Di udara pada 20/5/2009


Tawadhu' biasanya di terjemahkan dengan erti merendah diri. Beberapa pandangan ulama' berkaitan sifat tawadhu' ialah;

  • Bersikap tenang, sederhana dan sungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan takabbur (sombong). Tawadhuk adalah satu sifat orang mukmin yang termasuk 'siddiq
  • Orang yang patuh dan taat menerima yang benar serta menerima kebenaran itu walau dari sesiapa pun
  • Tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi dari orang lain.
    Orang yang yang tidak pernah membusungkan dada, orang yang bersifat lemah lembut dan hormat pada sesiapa pun, meskipun orang yang miskin dan tidak berpangkat.
    Sifat yang tegas, hanya 'menerima yang hak dan menolak yang batil
  • Satu tekad kesungguhan dalam mencapai yang benar."

Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:

يقول الله : من تواضع لي هكذا - وجعل باطن كفه إلى الأرض وأدناها إلى الأرض - رفعته هكذا - وجعل باطن كفه إلى السماء ورفعها نحو السماء

Maksudnya;"Barangsiapa tawadhuk(merendah diri) kerana Aku(Allah) seperti begini: ia itu Rasulullah menunjukkan dengan menelangkupkan tangannya ke Bumi, nescaya Aku angkat seperti ini(ia itu Rasulullah membalikkan tangannya ke arah langit)."
(Abu Bazar, Abu Ya'la dan Thabrani)




Allah berfirman dala surah Al Furqan ayat 63

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا"

Dan Hamba-hamba Allah yang Maha Penyayang, ia lah orang yang berjalan di atas muka Bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil mengajak bertengkar dengan mereka, mereka balas dengan ucapan-ucapan bijaksana."

Antara perilaku orang yang tawadhu' ialah;

  • Mudah menerima pandangan orang lain biarpun dia juga ada pandangannya sendiri. Dia tidak ada apa-apa masalah menerima pandangan orang yang lebih muda daripadanya ataupun orang yang lebih rendah pangkat daripadanya.
  • Sabar dalam perbincangan, tidak mudah marah atau emosional, lebih menjaga suasana harmoni dalam perbincangan tersebut daripada bertegang leher dengan rakan-rakannya.
  • Tidak memilih-milih kawan, boleh bergaul dengan semua orang, tidak kira samada orang bawahan atau orang atasan, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Malah, boleh duduk bermesra dalam satu majlis dengan orang yang pernah mengkritiknya.
  • Saling hormat menghormati, sekiranya berjawatan, ia menghormati orang bawahannya. sekiranya kaya, ia sangat memuliakan orang yang fakir dan miskin. Tidak timbul baginya yang ia ada kelas tersendiri.
  • Dalam pergaulan, lebih suka menjadi pendengar dan hanya akan bercakap bila perlu sahaja, tidak sewenang-wenangnya akan memotong percakapan orang sebaliknya memberi peluang orang itu menghabiskan percakapannya.
  • Dalam majlis, jika ada sesuatu kebenaran yang hendak diperkatakan, suka kebenaran itu keluar daripada mulut orang lain. Lebih-lebih lagi, jika ada orang yang lebih berpengalaman atau berilmu daripadanya dalam majlis itu.
  • Kalau diminta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, tidak mendabik dada sebaliknya bersyukur kepada Tuhan. Jika pendapatnya ditolak, lapang dada dan tidak berkecil hati.
  • Mudah memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang tersebut.
  • Segera minta maaf jika berlaku kesilapan daripadanya sekalipun kepada orang itu lebih rendah daripadanya dari segi jawatan atau umur.
  • Tidak minta dihormati atau dimuliakan atas kedudukannya. Jauh sekali berkecil hati jika tidak dihormati atau dimuliakan. Namun dia menerima dengan baik orang-orang yang mahu menghormati dan memuliakannya.
  • Tidak meninggi diri dengan menceritakan kelebihan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia lebih suka menceritakan kebaikan orang lain sebagai teladan.
"Usrah Rasa Hati"...

Keudara pada 6/5/2009


Imam Al-Ghazali menyebutkan tujuh perkara yang boleh menjadi faktor seseroang menjadi sombong dan takabbur.

1. Ilmu

Sombongnya orang yang berilmu disebabkan hatinya tidak bersih. Bila hatinya tidak bersih maka dia merasakan diri besar, dirinya berilmu, dirinya lebih baik dari orang lain, merasakan dirinya perlu dihormati dan dipuji, dirinya sudah sempurna tidak perlukan teguran dan nasihat, melihat dirinya bertaraf tinggi sebaliknya orang yang tidak berilmu lebih rendah, merasa dirinya sahaja yang akan selamat dan hampir dengan Allah. Justeru ilmu ini menjadi punca terbesar sifat sombong dan takabbur jika hatinya tidak bersih.

عن جابر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "لا تعلموا العلم لتباهوا به العلماء ولا تماروا به السفهاء


ولا تخيروابه المجالس فمن فعل ذلك فالنار النار"


Maksudnya; Janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk digelar sebagai ulama, dan janganlah kamu mempelajari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang yang bodoh, dan janganlah mempelajari ilmu dengan tujuan memilih tempat dan kedudukan, sesiapa yang melakukanya dengan tujuan yang sedimikian maka neraka adalah tempatnya.

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من تعلم علما مما يبتغى به وجه الله لا يتعلمه إلا

ليصيب به عرضا من الدنيا لم يجد عرف الجنة يوم القيامة

Maksudnya; Sesiapa yang memepelajari ilmu yang dituntut oleh Allah dengan tujuan mendapatkan habuan keduniaan, maka ia tidak mencium bau syurga di hari qiamat.

Allah S.W.T. telah mengingatkan para nabi-Nya dengan firman-Nya:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” (Surah al-Syu‘ara: 215).

Selain itu, orang yang berilmu itu wajib beramal dengan ilmunya. Justeru, adalah menghairankan sekiranya mereka yang berilmu itu berperangai dengan sikap takabbur. Tidakkah mereka pernah mendengar sabda Nabi s.a.w. yang mulia:

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال : إن أشد الناس عذابا يوم القيامة


عالم لم ينفعه الله بعلمه

Maksudnya; Sesungguhnya manusia yang menerima siksaan yang sangat berat dihari qiamat ialah orang berilmu yang tidak menggunakan ilmu.


Maka sewajarnya mereka yang berilmu merupakan orang yang paling bersungguh-sungguh menjauhi sikap takabbur dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya ilmu agama..


2. Amal Ibadat

Terkadang orang yang banyak melakukan amal ibadat bersifat sombong dan takabbur kerana merasakan merekalah sebaik-baik manusia yang paling layak mendapat rahmat Allah. Ilmu yang dimiliki tidak dapat membentuk sifat-sifat mulia dan menjauhi sifat takabbur.

Ada juga antara mereka yang apabila sudah terlalu takjub dengan amal ibadat mereka yang banyak berasa bahawa manusia lain yang kurang amal ibadatnya akan binasa.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “

إذا سمعتم الرجل يقول هلك الناس فهو أهلكهم

Malsudnya;Jika kamu mendengar seorang mengatakan semua orang binasa, maka dialah yang lebih binasa.”

Cukuplah sekiranya kita dapat mengambil iktibar daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ مِنْ كِبْرٍ

Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.” .


3. Nasab Keturunan

Ramai manusia menjadi sombong kerana ketuurnannya dan memandang rendah orang lain yang tidak mempunyai nasab keturunan sepertinya. Mereka berasa keturunannya yang terdiri daripada salihin, ‘amilin, hartawan, bangsawan dan sebagainya menyebabkan mereka menjadi manusia yang mulia. Dari Abu Dhar r.a. katanya:

روي أن أبا ذر رضي الله عنه قال قاولت رجلا عن النبي صلى الله عليه وسلم فقلت له يا ابن السوداء فغضب

صلى الله عليه وسلم وقال يا أبا ذر ليس لابن البيضاء على ابن السوداء فضل

Maksudnya;“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, Aku berkata: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah s.a.w. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam


4. Paras Rupa Dan Kehebatan Fizikal

Manusia sering besifat sombong apabila merasakan dirinya cantik dan hebat, lalu timbullah rasa takjub dengan keindahan dan kehebatan rupa parasnya. Wajarlah mereka ini merenung sabda Rasulullah s.a.w.:

إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.” .


5. Harta Kekayaan

Orang kaya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang bodoh dan malas berusaha.

Ada juga di antara mereka menganggap golongan kaya mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah S.W.T. Mereka berkata bahawa mereka boleh bersedekah dengan sebanyak-banyak sedekah, sedangkan si fakir miskin itu untuk menyuap sesuap nasi ke mulut sendiri pun masih belum tentu. Mereka lupa sebenarnya Allah telah menempatkan kedudukan yang istimewa kepada golongan fakir miskin yang beriman kepada Allah S.W.T.

Sesetengah golongan kaya sibuk dengan slogan ‘jihad ekonomi’ sehingga lupa jihad yang lebih besar iaitu jihad melawan hawa nafsu. Nabi s.a.w. telah bersabda:

قدمتم من الجهاد الأصغر إلى الجهاد الأكبر مجاهدة العبد هواه

Kita kembali daripada perang kecil menuju perang besar iaitu seorang hamba berjuang melawan hawa nafsu.”

Maka tidak sewajarnya si kaya memandang rendah si miskin, kerana seperti yang diterangkan bahawa si miskin yang beriman itu besar nilainya di sisi Allah S.W.T.

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:

اللهمَّ أحييني مِسكيناً وأمتني مِسكيناً واحشرني في زمرةِ المساكين

Ya Allah, hidupkandaku dalam keadaan miskin, dan mati aku miskin, dan himpunkan aku di kalangan orang-orang miskin.”
,.

Maka kata A‘isyah Radhiyallahu ‘anha: “Kerana apa, ya Rasulullah?” Maka sabdanya: “Bahawasanya mereka itu masuk syurga 40 tahun lebih dahulu daripada orang kaya . Hai A‘isyah, sayangilah orang-orang miskin dan hampiilah mereka itu, nescaya hampir kepada Allah Ta‘ala pada hari kiamat.” .


6. Kekuasaan


Memiliki kuasa,sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana menteri, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti jadi pegawai, penghulu, guru besar, guru-guru dan lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu sekiranya tidak mempunyai hati yang baik akan mendorongnya menjadi sombong.


7. Pengikut dan penyokong.


Manusia yang hatinya tidak sihat akan merasa hebat apabila dibelakangnya ramai pengikut atau peminat. Keangkuhannya dan kesombongannya bertambah kuat apabila apa yang diperkatakan dan dilakukan sentiasa mendapat sokongan dari pengikut tanpa melihat samada ianya satu kebenaran atau kebatilan.

Justeru, marilah sama-sama kita menjaga hati kita agar sentiasa insaf dan merendah diri biarpun semua perkara di atas menjadi milik kita. Jangan jadikan ia sebab kepada kesombongan dan ketakabburan tetapi jadikanlah ia sebagai sebab untuk kita hampir kepada Allah swt dan menginsafi semua perkara tersebut merupakan ujian daripada Allah swt. Semoga kita berjaya dengan ujian ini dan mendapat keredhaan Allah swt.